Selamat Datang

Selamat Datang Ke Laman Perguruan Silat Lintau Yang Asli... Silat Lintau Yang Berasal Dari Tepi Selo, Lintau Buo Utara.

PERTUBUHAN SILAT LINTAU KELANTAN: PERSILEK Headline Animator

Monday, 13 August 2012

Peranan Pendekar Amat Berat

Satu perkara yang dilupakan oleh golongan pendekar ialah peranan sebenar yang harus dimainkan dalam masyarakat. Apakah sebenarnya peranan pendekar dan besar manakah peranan itu. Adakah mereka sedar tentang hal ini atau hanya pandai bermain kata-kata tanpa pelaksanaan yang jitu? Posting kali akan cuba mengupas isu ini.

Pengertian Pendekar
P. Ramlee sebenarnya adalah seorang Pendekar.

Pendekar adalah panggilan kepada mereka yang mahir dalam bidang persilatan. Bukan semua orang yang mahir bersilat membawa gelaran pendekar itu. Gelar Pendekar adalah suatu gelar yang diperoleh dari Raja atau dari Masyarakat (di Minangkabau gelar Pandekar itu ada yang diberikan oleh Raja atau Pembesar yang SAH dan ada yang diberi oleh masyarakat dan Tuo Silek)

Perkataan Pendekar dikatakan juga berasal dari bahasa Minangkabau iaitu Pandai Akal. Ada juga yang berpendapat bahawa ianya berasal dari bahasa Malayalam iaitu Pannikar (gelaran yang diberikan kepada mereka yang mahir didalam seni beladiri Kalari Payat). 

Walau apapun yang dikatakan tentang makna dan asal usul perkataan Pendekar itu, ianya memberi pengertian bahawa seorang Pendekar itu pertamanya MESTILAH mahir dalam seni beladiri yakni Silat dan tahu segala selok belok Ilmu Silat.

Pendekar Sebenar

Seorang pendekar yang sejati ialah seorang yang bukan sahaja tahu selok belok Silat baik dari segi bentuk dan teknik Silatnya tetapi juga mesti mahir mengenai aplikasi tempur, kaedah dalaman seperti ilmu kerohanian, Gayuang Lahir dan Batin dan perubatan tradisional. Pendekar itu lebih daripada jurulatih atau pakar tempur, selain daripada seorang pejuang dan pakar perubatan tradisional, seorang Pendekar itu juga merupakan penyimpan dan pemelihara adat serta budaya yang dibawanya oleh Silatnya.

Sekarang marilah kita lihat huraian kepada pecahan ilmu yang wajib ada pada Pendekar itu:

1. Ilmu Silat dan Seni Mempertahankan Diri
  • Mengetahui dan memahami erti setiap langkah dan gerak dalam tempur.
  • Mengetahui dan memahami erti setiap langkah dan gerak dalam seni
  • Mengetahui dan memahami erti setiap langkah dan gerak dari sudut kerohanian
  • Mengetahui dan memahami erti setiap langkah dan gerak dari sudut adat 
  • Mengetahui dan mengenal Diri
  • Mengetahui Seni Mempertahankan Diri secara fizikal
  • Mengetahui Seni Mempertahankan Diri secara Mental
  • Mengetahui Seni Mempertahankan Diri secara Spiritual (Kerohanian)
2. Ilmu Perubatan Tradisional
  • Mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam merawat kes2 patah, luka dalam, kecederaan akibat 'perlanggaran' sewaktu bertempur.
  • Mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam merawat penyakit akut dan kronik
  • Memiliki ilmu tentang tubuh badan yang betul (Anatomi) dan ilmu kaji penyakit yang betul.
  • Memiliki ilmu yang berkaitan dengan urut (Massage)
  • Mengetahui perbezaan antara penyakit badani dan rohani
  • Mengetahui cara merawat penyakit2 badani DAN rohani.

3. Ilmu & Pengetahuan Adat Budaya.
  • Tahu segala selok belok adat Perpatih dan Temenggung
  • Tahu dan faham apa yang dikatakan budaya Pendekar dan peranannya.
    • Membentuk masyarakat Islam yang mempunyai nilai Budaya Islam melalui Silat
    • Melahirkan Pejuang Islam yang bersedia berjihad di jalan Allah
    • Membentuk masyarakat Islam yang zuhud 
    • dan banyak lagi...
Oleh itu, jelas disini bahawa orang yang layak mendapat gelar Pendekar itu mestilah:

1. Mahir dalam bidang persilatan.
2. Mahir dalam bidang perubatan tradisional.
3. Penyimpan & Pemelihara Adat & Budaya.


Peranan Pendekar

Peranan seorang Pendekar tertumpu kepada perkembangan kerohanian/ketuhanan pelajar Silat yang dipimpin. Seorang Pendekar tidak akan mengajar muridnya sehingga menjadi bangga diri dan mengutuk orang lain. Amat berat sekali peranan yang harus dimainkan oleh Pendekar ini.

Selain itu juga, seorang Pendekar itu mesti mempunyai ilmu dakwah yang tidak lari dari pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Mesti menegakkan Sunnah Rasulullah didalam kehidupannya sesuai dengan pesan Nabi SAW dalam shahih Bukhari yang bermaksud "Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Sebenarnya, terlalu banyak yang hendak diperkatakan tetapi buat masa ini biarlah setakat ini sahaja dahulu. Semuga perkongsian yang tidak seberapa ini dapat membuka minda pembaca kepada peranan sebenar yang seharusnya dijalankan oleh Pendekar dan semuga pembaca faham bahawa tugas dan tanggungjawab kami terlalu berat dan amat besar sekali peranannya dalam membentuk masyarakat yang bersahsiah tinggi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment