Setelah membaca buku The Clash of Civilisation, saya tidak begitu percaya kepada teori ini. Justeru saya tidak mendaftar diri untuk menjadi penganut mazhab ini. Tetapi apa yang berlaku pada minggu ini — serangan dan kematian Pak Duta Amerika di Benghazi, Libya - menjadikan penganut teori ini melonjak yakin.
Warga Mesir, Libya, Yemen, Pakistan telah keluar menunjuk perasaan berdemonstrasi menyatakan kemarahan mereka terhadap filem 'Innocence of Muslims'. Di London warga Muslim keturunan India dan Pakistan juga telah berdemonstrasi di hadapan kedutaan Amerika.
Di Karachi seorang penunjuk perasaan telah tewas. Manakala duta Amerika ke Libya bersama 3 warga Amerika telah terbunuh di Benghazi. Kelihatan 'kes kartun Denmark' ini berulang sekali lagi.
Saya sempat melihat klip filem yang menaikkan kemarahan penganut agama Islam ini. Ketika saya menonton klip ini di YouTube jumlah penonton masih di bawah satu ribu. Sebagai mahasiswa filem saya agak kagum dengan kebangangan pembikinan filem ini. Pembikinannya tanpa seni. Kata bualnya menjolok telinga. Tetapi filem ini tidak minta dipertandingkan ke Venice Film Festival. Seni sinema bukan tujuan filem ini digarap. Justeru apa tujuan filem ini dibuat?
Berita awal mengatakan bahawa filem ini dibuat oleh pengarah Yahudi. Bajet pembikinan juga datang dari duit Yahudi. Berita awal melaporkan dua bulan dahulu filem ini telah ke panggung, tetapi tidak mendapat sambutan.
Sehari sebelum ulang tahun 9/11 klip pendek 13 min yang mengiklankan filem ini telah ditampal dengan bahasa Arab. Klip 'tampal suara Arab' ini telah ditayangkan oleh sebuah saluran di Mesir. Hasilnya. Dum. Dam. Semuanya meledak!
Apa sebenarnya tujuan filem ini dibuat? Saya sendiri tidak akan dapat menjawab dengan tepat. Saya hanya dapat mengagak dengan melihat apa yang tersurat. Pada tahun 2005 - juga pada bulan September - akhbar Jyllands-Posten dari Denmark telah menerbitkan 12 karikatur wajah Nabi Muhammad. Bantahan dan demonstrasi meledak diseluruh dunia. Ada kematian dan ada pembunuhan.
Ada yang berhujah mempertahankan hak menerbitkan karikatur ini. Hujah berasaskan hak bersuara dan hak kebebasan individu. Hujah ini disebar luas untuk pempertahankan lukisan wajah Nabi Muhammad. Saya penyokong kuat hak untuk bersuara. Saya penyokong kuat kebebasan untuk menerbitkan akhbar. Tetapi saya anggap bukan ini asas tujuan filem ini.
Innocence of Muslims ini bukan karikatur. Kali ini ianya bukan lukisan. Filem ini adalah lakonan dan watak Nabi Muhammad, Siti Khadijah, Saidina Hamzah dan Bilal digarap kembali. Watak-watak ini hidup bergerak dan bersuara.
Saya amat yakin klip filem ini bukan tentang hak kebebasan bersuara. Atau hak demokrasi. Saya perhatikan ada niat jahat dibelakang pembikinan filem ini. Dari ilmu semiotik yang saya gunakan untuk membaca nahu filem, saya dapati bahawa filem ini dibuat dengan tujuan untuk menaikkan kemarahan umat Islam. Filem ini dibuat dengan tujuan untuk mengapi-api kan lagi kebencian warga dunia terhadap umat Islam.
Saya perhatikan 'ledakan' ini seperti dirancang. Menaikkan kemarahan umat Islam ini bertujuan untuk memaparkan kepada dunia bahawa umat Islam ini ganas dan tidak rasional. Saya amat yakin si pembikin filem ini tahu dan sedar bentuk reaksi yang akan datang dari filem ini. Malah reaksi inilah yang ingin dipancing.
Gambar anak muda Arab menyerang Keduatan Amerika, imej anak muda berketayap dengan mulut ternganga, imej bendera Amerikan dibakar dan dipijak-pijak akan terus diputar untuk menjadi ingatan kolektif kepada warga dunia. Imej seperti ini menyalurkan bunyi, ayat dan nahu bahawa Arab, Islam dan keganasan itu adalah sama.
Saya menolak teori pertembungan budaya/clash of civilisation kerana teori ini adalah teori rasis yang menganggap sesiapa sahaja yang bukan berkulit putih dan berbudaya oksidental adalah kasar, lucah, ganas dan tidak bertamadun. Saya menolak dan melawan hegemoni budaya oksidental berbentuk ini. Dalam masa yang sama juga saya memilki penilaian terhadap budaya oriental itu sendiri.
Ada satu perkara yang wajib saya ulangi sekali lagi. Perkara ini ialah kejulingan pandangan terhadap 'orang lain/the other'. Kejulingan pandangan ini tidak hanya dimonopoli oleh budaya kulit putih oksidental. Umat Islam dari orient juga memiliki kejulingan yang sama. Selagi kejulingan melihat 'orang lain/the other' tidak diperbetulkan maka kita akan terus bertelagah.
Kejulingan pandangan dua umat ini jelas sekali dalam hal seksualiti. Budaya oksidental melihat budaya Arab dan Islam amat menekan dalam hal hubungan seksual. Warga Arab dianggap mewakili semua umat Islam - dilihat sebagai contoh dimana kebebasan perempuan dan seksualiti ditekan.
Tidak ada kebebasan dalam hal pemilihan bakal suami atau bakal isteri dalam masyarakat Islam. Hubungan seksual hanya dibenarkan sesudah berkahwin. Dan paling memeranjatkan masyarakat oksidental ialah, penganut Islam dibenarkan berkahwin empat.
Penganut Islam juga secara juling melihat agenda seksualiti dalam budaya oksidental terlalu bebas. Penganut Islam melihat seksualiti dalam masyarakat oksidental mengancam. Penganut Islam melihat seksualiti bebas ini telah mewujudkan banyak 'anak haram' dan 'anak luar nikah'. Budaya oksidental tidak melarang hubungan seksual sejenis. Semua ini dijadikan hujah oleh masyarakat Islam untuk melihat masyarakat oksidental sebagai berbudaya jahiliah.
Untuk saya kedua-dua pandangan dari Barat dan Timur - adalah pandangan juling malah hampir menjadi pandangan buta. Seksualiti dalam kedua-dua budaya ini sama sahaja. Keberahian seorang Arab-Islam dengan keberahian seorang Danish-Kristian sama sahaja. Anak luar nikah dan hubungan seksual diluar perkahwinan ada dalam pengalaman semua budaya.
Keberahian seksual untuk anak semua bangsa dalam dunia ini sama sahaja. Di Republik Islam Pakistan ada hubungan seks di luar nikah - sama sahaja nafasnya di Paris atau di New York. Homoseksualiti wujud di Sweden. Ianya juga wujud di Kabul atau di Jakarta.
Untuk saya budaya dan tamadun itu bukan hanya tentang seksualiti. Penekanan hanya terhadap seksualiti adalah pandangan silap. Barat bukan hanya penuh dengan seksualiti bebas. Sama juga seperti Timur - budaya Timur bukan hanya ganas, kasar dan lucah.
Tamadun oksidental memiliki keutuhan perundangan yang dijaga rapi. Sistem kenegaraan yang tersusun baik. Media dan lembaga media yang boleh dicontohi. Sistem ekonomi berkebajikan wujud dalam budaya Barat. Orang tua, penganggur, warga kurang upaya memiliki keistemewaan dalam budaya Barat - mereka mendapat semua kemudahan. Budaya Barat mengagungkan keilmuan, pencipta dan pemula.
Adalah silap yang maha besar apabila Islam dan Arab disamakan. Budaya Arab bukan budaya Islam. Penganut Islam yang terbanyak dalam dunia ini bukan di negara Arab tetapi di Indonesia dan India.
Tamadun Islam bukan hanya berkisar kepada seksualiti dan keganasan. Islam mengajukan falsafah dan keilmuan. Anak semua bangsa wajib sedar bahawa tanpa Baitul Hikmah/Gedung Ilmu di Baghdad yang wujud pada kurun ke-9 hingga ke kurun ke-13, dunia kita ini tidak akan ada Pencerahan (Renaissance). Keilmuan dan falsafah dari Baitul Hikmahlah yang bertanggungjawab mencerahkan dunia yang kita lihat hari ini.
Apa hubungan semua ini dengan filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad?
Apa yang saya cuba huraikan disini ialah filem ini dibuat dengan niat untuk memperkukuhkan lagi jalur 'Taliban', jalur konservatif, jalur jumud atau jalur fundamentalis dalam harakah Islam.
Jalur Taliban - jalur fundamentalis - ini amat-amat diperlukan oleh kuasa imperial. Jalur ini akan melonjak dan menghambur tanpa perhitungan keilmuan sambil melaungkan 'Allah Akbar'. Imej jalur ini yang tersebar dimedia dunia. Akan terpahat dalam ingatan kolektif warga dunia bahawa Islam itu ganas.
Jalur Taliban ini dengan ganas akan memaksa orang lain menerima bahawa Islam itu adalah agama yang mengajukan keamanan. Dengan ganas, jalur Taliban akan menjerit: 'Islam is peaceful!' Justeru penganut jalur ini jika ditembak mati, dibom atau dipenjarakan ke Guantanamo Bay akan dianggap sebagai langkah yang 'tepat' dan adil.
Filem yang menghina Nabi Muhammad ini akan memperkukuhkan dan memperluaskan lagi jalur Taliban ini. Filem ini akan menekan, mengganggu dan menghalang kemunculan ampuh, jalur Islamik yang rasional, berilmu dan berfalsafah dalam berhujah untuk menyampaikan dakwah agama yang telah membawa pencerahan ke dunia ini.
Islam yang rasional dan demokratik yang penganutnya memanggil diri mereka Muslim Demokrat akan menjadikan teori The Clash of Civilisation tinggal hanya sebagai teori.
Umat manusia yang berbudaya tidak akan bertembung sesuka hati. Untuk Muslim Demokrat, mereka berkeupayaan untuk merayakan kepelbagaian budaya dan kepelbagaian agama.
No comments:
Post a Comment