Selamat Datang

Selamat Datang Ke Laman Perguruan Silat Lintau Yang Asli... Silat Lintau Yang Berasal Dari Tepi Selo, Lintau Buo Utara.

PERTUBUHAN SILAT LINTAU KELANTAN: PERSILEK Headline Animator

Thursday 29 November 2012

Keris - Pakaian Adat atau Pendekar?

Baru-baru ini, saya ditertawakan rakan-rakan apabila saya memberitahu mereka bahawa saya tidak memiliki keris. Ada yang sampai berkata, Guru Silat apalah Doktor ni, keris pun takda... tersinggung jugak rasa bila orang mengata begitu. Adakah dia faham apa yang dia perkatakan?
Keris adalah salah satu artifak simbol dan identiti keagungan bangsa Melayu yang mempunyai peranan dan fungsi yang istimewa dan unik dan tidak mudah pupus sejak ia mula dicipta sehingga kini. Menurut seorang pengkaji barat, Edward Frey, Keris merupakan lambang budaya yang terpenting bagi masyarakat Melayu.


Fungsi keris di Alam Melayu bukan sekadar alat mempertahankan diri atau digunakan dalam pertarungan. Keris adalah sebahagian daripada pemakaian penting seorang sultan atau raja Melayu sebagai lambang legitimasi kerajaan dan kedaulatan baginda (Utusan Malaysia, 7 November 1985). Ia juga digunakan sebagai pelengkap pakaian lelaki, azimat, pelindung diri dan rumah tangga, untuk memperoleh kekayaan, menundukkan manusia, jin dan haiwan, menolak bala, pelaris dagangan (UtusanMalaysia, 2 Mac 1996)

Apa tu keris?
Keris harus terdiri dari dua bahagian iaitu bilah dan ganja. Dalam falsafah Jawa Hindu, bilah merupakan lingga, sedangkan ganja merupakan yoni. Kesatuan lingga dan yoni membawa maksud harapan atas kesuburan, keabadian dan kekuatan.
Bilah keris selalunya dibuat tidak tegak lurus. Kedudukan bilahnya lebih miring atau condong. Ini adalah sifat masyarakat melayu yang sentiasa tunduk. Namun jauh lebih hebat dari itu, masyarakat melayu telah menjumpai teknik menusuk yang baik. Dengan bilah yang condong, ini menghasilkan tusukan yang berskala lebih besar bila ia menusuk dalam tubuh.
Ukuran panjang bilah lazimnya antara 33 cm hingga 38 cm. Beberapa keris luar Jawa mencapai 58 cm, bahkan keris Filipina panjangnya mencapai 64 cm. Yang terpendek adalah keris Buda dan keris buatan Nyi Sombro Pajajaran iaitu sekitar 16-18 cm. Namun begitu wujud juga keris yang jauh lebih pendek tetapi ia tidak dirujuk sebagai sebilah keris.
Keris dibahagiankan kepada 2 kelompok besar. Satu yang lurus dan satu yang berluk-luk. Jumlah luk ini mulai dari 3 luk hingga 13 luk. Keris yang lebih dari 13 luk bukanlah keris yang tidak baik tetapi disebut sebagai keris kalawija (keris yang dicipta untuk kegunaan tertentu).
Untuk pamor pula, terdapat lebih dari 150 ragam pamor. Pamor dikatakan sebagai bahagian keris yang terpenting, menurut kepercayaan masyarakat umum, pamor mempunyai keuasa ajaib luar biasa yang sangat besar dan dapat mempengaruhi kehidupan si pemiliknya.
Dalam semua ciptaan senjata tradisional Melayu dapat dihuraikan satu demi satu dan ceraian-ceraian bahagian yang terdapat padanya. Ini bolehlah dihuraikan sebagai berikut: hulu biasa diperbuat menggunakan kayu, tulang, tanduk, gading, juga dari logam seperti emas, perak dan tembaga yang padu atau membalut pada bentuk yang diperbuat daripada kayu. Matanya diperbuat daripada berbagai jenis besi dan besi waja. Sarung dan sampirnya diperbuat sama seperti hulunya menggunakan bahan yang hampir sama. Ganja dan mata dibentuk daripada besi dan fungsi ganja ialah untuk menyelamatkan buku lalu tangan dari mata keris musuh semasa bertikam. Pendongkok iaitu perhiasan yang diletakkan menyarungi puting mata keris hingga ke ganja dan kemudiannya barulah hulu keris dipasang dengan putting rajam itu dan dicucukkan di lubang yang disediakan pada hulunya. Pendongkok ini juga biasanya diperbuat dari logam, tembaga, suasa dan emas. 
Mata keris memainkan peranan utama di mana baik buruknya dinilai pada matanya. Ciptaan mata keris ini mahupun berluk atau lurus, kita akan terbayang nyalaan api atau lidah api. Menifestasi ini merupakan imaginatif yang sangat tinggi nilainya.

Keris: sejarahnya yang panjang…
Keris adalah khazanah budaya yang cukup istimewa. Gambar timbul (relief) yang paling kuno memperlihatkan besi telah wujud semasa pembentukan prasasti batu yang ditemui di Desa Dakuwu, di daerah Grabag, Magelang, Jawa tengah. Prasasti ini menggunakan huruf pallawa dan mempunyai gambar-gambar seperti kapak, sabit, belati, pisau dan keris. Ini menunjukan masyarakat melayu pada masa itu telah mencipta seni pahat yang bernilai tinggi.
Lukisan gambar timbul pada candi Borobudur, Jawa tengah menunjukan beberapa parajurit membawa senjata berbentuk keris. sewaktu Candi Borobudur dibongkar, telah ditemui sebilah keris tua yang masih lengkap bilah dan hulunya di lubang stupa candi tersebut. Dari sini wujudnya teori bahawa keris tersebut telah diletakkan oleh seseorang selepas candi itu dibangunkan. Wujud juga teori yang menyatakan keris tersebut telah tertanam lebih lama sebelum kewujudan candi tersebut. Keris itu kini tersimpan di Muzium Ethnografi, Leiden, Belanda.
Ada juga teori yang menyatakan keris sudah berkembang di Nusantara sejak 1000 masihi. Pendapat ini diasaskan dari laporan seorang musafir Cina pada tahun 922 Masihi. Menurut beliau, seorang Maharaja Jawa memberi hadiah kepada Kaisar Tiongkak “a short swords with hilts of rhinoceros horn or gold” (pedang pendek dengan hulu terbuat dari cula badak atau emas). Laporan itu hampir serupa dengan prototaip keris yang tergambar pada Candi Borobudur.
Pada abad ke-14 iaitu zaman kerajaan Singasari, terdapat patung dewa Siva memegang keris panjang pada tangan kanannya. Patung ini pastinya tidak dibawa dari India kerana patung disana tidak mempunyai patung yang memegang keris. Patung ini kini disimpan di Muzium Ethnografi, Leiden, Belanda.
Fakta paling jelas tentang kewujudan keris ialah laporan pengembara bernama Ma Huan. Dalam Laporannya dalam Yingyai Shen-Lan (The Overall Survey of the Ocean’s Shores) tahun 1416, sewaktu beliau mengunjungi Majapahit bersama rombongan Cheng-Ho, beliau menyaksikan hampir semua lelaki termasuk kanak-kanak memakai pulak. Pulak digambarkan sebagai belati lurus atau berkelok-kelok. Apa yang dimaksudkan oleh Ma Huan itu ialah keris.
Ma Huan menulis “These daggers have very thin stripes and within flowers and made of very best steel; the handel is of gold, rhinoceros, or ivory, cut into the shape of human or devil faces and finished carefully”.
Keris mencapai bentuknya seperti yang kita lihat hari ini ialah pada sekitar abad ke-12 dan ke-13 iaitu pada zaman Majapahit. Selepas para empu bermigrasi keluar dari Jawa, keris mula tersebar ke Palembang, Riau, Semenanjung Malaysia, Brunei, Filipina Selatan, Kemboja (Champa) dan Patani, Thailand.
Buku pertama yang ditulis oleh orang barat adalah buku The History of Java, tulisan Stamford Raffles (1817). Inilah buku yang pertama menyebut tentang keris. Raffles menulis secara terperinci tentang keris semenanjung. Namun malangnya, sebenarnya Raffles menulis tentang keris jawa.

Budaya awal pembentukan keris
Keris tertua yang dibuat adalah di sekitar abad ke-6 atau ke-7. Keris yang dibuat di Jawa ini dikenali sebagai keris Buda. Sesuai sifatnya sebagai sebuah karya awal budaya, bentuknya masih sederhana. Namun begitu, pilihan besi yang digunakan tidak jauh berbeza dengan keris masa ini. Bezanya hanya keris tersebut tidak berpamor.
Sesuai dengan perkembangan budaya, bilah keris terus bertranformasi. Dari bilah yang berelatif gemuk, pendek dan tebal, secara beransur-ansur menjadi lebih nipis, langsing dan panjang. Ecara perlahan-lahan juga ia menjadi semakin cantik.
Oleh kerana keris ini tersebar di seluruh Nusantara, keris mempunyai banyak nama padanan. Di Bali, Keris disebut sebagai kedutan, Sulawesi disebut selle atau tappi, di Filipina di sebut sundang. Di daerah-daearah lain keris juga disebut kerih, karieh atau kres.
Keris adalah senjata seni yang meliputi seni tempa, seni ukir, seni pahat, seni bentuk serta seni perlambangan. Pembuatanya selalu disertai doa-doa tertentu. Bahan pembuatan keris adalah besi, baja dan bahan pamor.
Salah satu pamor yang cukup istimewa ialah batu meteorit yang mengandungi unsur titanium. Pemilihan batu meteorit ini merupakan penemuan terhebat masyarakat melayu. Ini kerana unsur tatinium itu adalah keras, kuat, ringan, tahan panas dan tahan karat. Dalam peradaban sekarang, titanium dimanfaatkan untuk pembuatan roket, peluru dan pesawat angkasa lepas. Menariknya, orang barat hanya menjumpai titanium pada tahun 1791.
Besi dan pamor ditempa berulang-ulang dan berlapis-lapis. Pada umumnya, keris paling rendah buatanya terdiri dari 64 lapisan. Keris sederhana memerlukan 128 lapisan. Keris yang berkualiti baik mempunyai lebih dari 200 lapisan. Segala benda yang tipis akan menjadi jauh lebih kuat bila benda itu berlapis-lapis. Teori ini telah ditemui oleh para empu berabad-abad lampau. Teknologi ini hanya ditemui oleh masyarakar barat pada abad ke 16. Itu pun bukan berkait dengan besi tetapi kayu lapis (plywood).

Bukan alat membunuh
Walaupun penulis barat menggolongkan keris sebagai senjata tikam, namun sebenarnya keris jauh lebih penting dari itu. Jika benar keris digunakan untuk membunuh, komposisi keris seharusnya lebih panjang dan tajam. Paling penting ia tidaklah perlu dicipta dengan cantik dan sukar.
Dari sudut psikologi, keris dapat menambah keberanian dan percaya diri. Keris juga merujuk kepada darjat dan pangkat. Pada zaman dahulu, seorang utusan raja dianggap sah apabila membawa salah satu keris milik raja yang mengutuskannya. Bila seorang pegawai kerajaan menduduki jabatan tertentu, satu upacara  bernama wisuda akan dilaksanakan. Pegawai baru ini akan mendapat sebilah keris dari jabatanya. Budaya ini masih dilestarikan di Brunei
Selain itu keris juga bertindak sebagai pakaian adat. Di Jawa contohnya, keris digunakan sebagai salah satu instrument penting dalam pakaian adat. Sebagai contoh, apabila seseorang pengantin lelaki gagal untuk hadir di majlis perkahwinannya, beliau boleh mengirim kerisnya sebagai simbol bahawa dia mendapat gangguan dan tidak boleh hadir untuk majlis tersebut. Pengantin perempuan boleh meneruskan majlis tersebut dengan bersanding dengan keris tersebut di atas pelamin.
Di Sumatera juga diketahu bahawa wujud upacara keagamana menggunakan keris. Pada masa penjajahan Belanda, upacara bersih desa disertakan dengan sebilah keris bernama keris sajen. Sebelum ini diketahui bahawa keris digunakan oleh masyarakat primitif sebagai alat penyembahan kepada sang hiang.
Di Sumatera Barat, seorang anak lelaki yang ingin merantau harus dibekalkan dengan sebilah keris oleh orang tuanya sebagai simbol memberi kebenaran dan simbol keluarga jika terpisah di kemudian hari.
Memang ada keris yang digunakan untuk membunuh orang misalnya digunakan oleh algojo untuk hukuman bunuh.

Seni Persenjataan Dan Budaya Keris Melayu
Senjata tradisional di alam Melayu mempunyai kedudukan taburan yang paling luas. Berbicara tentang senjata bererti seseorang itu pasti mengulas tentang kehidupan masyarakat melayu dan daerah serumpunnya.
Seni persenjataan dan budaya keris melayu adalah merujuk kepada bagaimana keris itu ditahapkan dikalangan masyarakat Melayu sehingga ia dijadikan sebagai senjata yang mempunyai susila penggunaan, pembuatan dan pemakaian.
Senjata rumpun Melayu yang paling terkenal di seluruh dunia dahulu dan sekarang ialah keris dan kini sungguhpun tidak lagi berfungsi sebagai alat mempertahankan diri, tetapi ianya masih diperagakan sebagai salah satu dari alat kebesaran dalam adat istiadat diraja.
Pada sesetengah mereka yang masih teguh kepada pegangan hidup menyifatkan keris mempunyai pengaruh psikologi yang kuat dalam kehidupan, kepercayaan dan amalan. Oleh kerana pendapat ini telah sebati, maka keris dipuja dan menjadi barang keramat yang sakti dan dihormati. Kepercayaan sedemikian masih meresap hingga sekarang.
Oleh kerana keris adalah satu-satunya ciptaan yang unik rumpun melayu, maka secara sendirinya ia menonjolkan ragam senihias pada keseluruhan ciptaan dan rupabentuk
Dalam banyak nama sebutan kepada senjata keris terdapat satu  jenis yang dinamakan keris sundang ataupun Sundang sahaja. Ianya dianggap sebagai “raja” bagi segala senjata Melayu. Berasal dari Sulawesi dan diperkenalkan di Semenanjung Malaysia pada abad ke-17. Sundang digunakan sebagai senjata untuk memotong dan melibas dan jarang sekali untuk menikam. Bentuknya hampir sama dengan bentuk pedang, bermata lebar serta lurus ataupun berlok direkabentuk sama seperti mata keris dengan teknik dan kepakaran yang jitu. 

Motif Dan Ukiran Pada Ulu Dan Sarung Keris
Ukiran pada ulu dan sarung keris adalah melambangkan kepada jenis keris itu sendiri serta bentuk penggunaannya. Pada asasnya terdapat ukiran yang begitu halus pada ulu dan sarung keris maka bahan yang digunakan untuk menghasilkan keris menjadikan ianya lebih tinggi darjat atau tahap kemahiran pengukir itu sendiri. Setiap motif dan ukiran melambangkan dari mana keris itu berasal dan sejauh mana ketinggian pengukir-pengukir halus atau kayu. Ukiran dan motif juga melambangkan kepada citarasa pengukir dan ilham itu sendiri.
Terdapat 11 bentuk ulu keris di dunia melayu – 1. Ulu keris Bali bertatah Emas 2. Ulu keris Bali 3. Sumatera 4. Madura 5. Sumatera 6. Semenanjung (Jawa Demam) 7. Jawa 8. Pekaka (Patani) 9. Sulawesi 10. Solo 11. Moro
Ukiran dan motif pada sarung keris tidaklah menonjol seperti ukiran ulu keris, namun bentuk dan saiznya memberi gambaran bentuk bilah yang tersimpan didalamnya. Ia mendekati ungkapan Melayu “setinggi-tinggi bangau terbang, akhirnya ke belakang kerbau juga hinggapnya”. Begitulah dengan sarung keris, sewaktu keris digunakan untuk menikam musuh dan lawan, keris tetap akan pulang ke sarungnya.

Keris Dalam Perspektif Islam
Ia merupakan satu persoalan yang bersabit dengan pengaruh Islam sama ada kepada golongan pemakai, pembuat atau pengukir. Islam meletakkan senjata sebagai suatu perkara yang penting dalam kehidupan, khususnya dalam konteks untuk mempertahankan diri. Mempelajari kemahiran bermain senjata adalah fardhu kifayah. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
“ ajarilah anak-anak kamu bermain panah dan berenang…..”
Hadis ini menunjukkan Islam menggalakkan umatnya yang cergas, tangkas dan cekap bermain senjata dan juga pandai berenang.  Dengan  memiliki kecekapan tersebut akan dapat mempertahankan diri dari serangan musuh dan menjadi orang yang berani untuk berjuan, khususnya menegakkan syiar Islam.
Sebahagian besar daripada senjata, termasuklah keris diperbuat daripada besi yang kuat yang digali dari perut bumi. Manusia tidak sukar untuk mengenal pasti darimana untuk mencari bahan-bahan yang seumpama ini. Ini kerana ilmu tentang wujudnya logam di perut bumi telah diceriterakan oleh Al-Quran. Firman Allah S.W.T (bermaksud).
            “…. Dan kami telah menciptakan besi dengan keadaanya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia dan supaya ternyata pengetahuan Allah S.W.T tentang orang yang menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasulnya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan, sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”; (Al-Hadid:25)
Pada prinsipnya, ‘senjata’ dalam Islam adalah bertujuan sebagai alat untuk mempertahankan diri. Ini kerana Islam meletakkan manusia dan keimanan itu sebagai martabat yang tinggi yang perlu dilindungi dari ancaman pengaruh luar yang boleh merosakkan agama dan masyarakatnya. Justru itu, memiliki senjata dan mempelajari ilmu persenjataan adalah suatu fardhu kifayah, atas niat untuk mempertahankan agama.
Tatahan kalimah-kalimah agama lazimnya dapat dilihat pada bahagian pangkal tulang atau hulu keris. Keris Sultan Abdul Jalil (kurun ke-18), umpamanya merupakan salah sebuah keris yang mempunyai identiti seumpama itu. Ayat-ayat Al-Quran atau kalimah-kalimah yang menunjukkan nilai-nilai Islam pada sesebilah keris juga sering dilihat pada bahagian sarungnya. Diantara keris yang terkenal mempunyai ciri ini ialah Keris Cik Siti Wan Kembang (kurun ke-18), Kelantan.
Kedatangan Islam di Nusantara bermula sejak abad ke-14 dan menjadi semakin meluas dan mantap pengamalannya pada abad ke-16 sampai dengan abad ke-20 turut mempengaruhi rupa bentuk dan mata keris itu sendiri. Tulisan-tulisan pada abjad Al-Quran dan Jawi turut menghiasi mata keris, hulunya turut diubah bentuknya menjadi lebih samar dan tidak berbentuk lembaga kecuali Keris Bali, Madura dan Lombok.
 Untuk mengetahui selanjutnya sila ke SINI

No comments:

Post a Comment