Selamat Datang

Selamat Datang Ke Laman Perguruan Silat Lintau Yang Asli... Silat Lintau Yang Berasal Dari Tepi Selo, Lintau Buo Utara.

PERTUBUHAN SILAT LINTAU KELANTAN: PERSILEK Headline Animator

Monday, 5 March 2012

JANGAN PERKECIL USAHA GURU SILAT


Oleh Dr. Kamal Shah.

Belajar Silat Di Hujung Tanjung,
Bukan Sekejap Bertahun Lama,
Bersiap Jika Musuh Menyerang;
Kelantan Berdaulat Raja Dijunjung,
Menjadi Sanjungan Rakyat Jelata,
Dari Dahulu Hingga Sekarang.

Pemimpin masyarakat yang terdiri dari Penghulu, Penggawa, Yang Berhormat2 DUN dan Parlimen  diseru supaya memberi peluang kepada badan Silat untuk melestarikan seni budaya bangsa dan membentuk sahsiah golongan remaja di negeri ini.


Seruan ini dibuat memandangkan ada sesetengah pemimpin masyarakat yang dilihat tidak senang malah tidak mahu membantu badan silat untuk menjalankan tanggungjawab sosial untuk mendidik dan membentuk sahsiah golongan muda di negeri ini.

Pahlawan Melayu Malang Nasibnya,
Sudah Jatuh Ditimpa Tangga;
Takkan Melayu Hilang Di Dunia,
Kelantan Bertakhta Siap Siaga.

Malah, ada yang tidak senang dengan Guru Silat, terutama Guru yang lantang mengeluarkan pandangan. Hal ini berlaku kerana mereka merasa bahawa Guru Silat menentang wawasan politik atau dilihat sebagai melawan arus perjuangan politik yang mereka bawa sedangkan mereka lupa bahawa Guru Silat juga adalah pemimpin masyarakat yang kadangkala lebih dari mereka sendiri.

Ini adalah kerana, syarat untuk menjadi seorang Pendekar sejati, seorang Guru Silat mestilah mampu untuk mengganti tugas Imam dan Penghulu Kampung dimasa ketiadaan salah seorang darinya. Mereka juga lupa bahawa Guru Silat merupakan orang yang mempunyai ilmu, bukan sahaja ilmu silat tetapi ilmu agama. Selain itu, Guru Silat juga merupakan ‘Penghulu Adat’ dan tahu Adat dan Adab serta Budaya yang luhur.

Berbaris Semut Di Pohon Tualang
Rebahnya Kayu Dijadikan Balak
Seisi Kampung Hidup Cemerlang
Teguh Agama Berbudi Berakhlak

Tidak kurang juga mereka yang salah anggap akan peranan yang dimainkan oleh Guru2 Silat ini. Guru Silat bukan sekadar mengajar gerak jasmani tetapi juga mendidik muridnya untuk menjadi ‘Manusia Yang Sebenar2 Manusia’. Guru Silat merupakan Guru yang membentuk Adat dan Budaya masyarakat. Adat bermaksud segala tindak-tanduk manusia yang bersangkutan dengan nilai2 masyarakat setempat dan nilai2 agama. Ini kerana Silat berdiri diatas prinsip ‘Adat Bersendikan Syarak, Syarak Bersendikan Kitabullah’.

Dr. Kamal Shah, Guru Utama bagi Pertubuhan Seni Silat Lintau Kelantan (PERSILEK) mengingatkan kepimpinan supaya “jangan sesekali memperlekeh pekerjaan seorang Guru Silat kalau anda sendiri tidak mampu untuk melakukannya. Ini kerana Guru Silat adalah mereka yang menjalankan sebahagian dari tanggungjawab sosial untuk membentuk masyarakat yang mempunyai nilai Adat Budaya yang tinggi” tambahnya lagi.

Guru2 Silat juga mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat terutama keatas golongan muda yang menjadi muridnya. Guru2 Silat boleh sahaja dengan mudah mengarahkan pengikut yang setia untuk tidak memberikan undi mereka kepada mana2 calon parti politik yang dilihat tidak mempedulikan nasib mereka.

Dua Negara Di Bawah Serumpun
Adat Dijaga Pusaka Dijunjung.
Di Kelantan Darul Naim Kita Berhimpun
Melestarikan Silat Lintau, Budaya Disanjung.

Oleh itu, beliau menyeru kepada pemimpin politik di negeri ini buat kali yang terakhirnya supaya memberikan perhatian yang sewajarnya kepada PERSILEK supaya anak muda pewaris bangsa yang berada didalam PERSILEK tidak merasa meluat dengan pemimpin mereka. 

No comments:

Post a Comment