KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA
13hb November 2012
“KEBEBASAN BERAGAMA”
Dengan
harapan media beramanah dalam melaporkan isu kebebasan beragama yang
sedang dibincangkan, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) ingin menyatakan
sokongan terhadap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama
Islam (OIC), termasuk para pemimpin dunia yang lain yang mengutuk
perbuatan biadap menista agama, termasuk sebarang penistaan dalam isu
kebebasan beragama. Dan, di saat ummah Islam semakin hilang keyakinan
terhadap PBB, PUM turut menyokong Kenyataan Malaysia, khasnya Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menolak konsep kebebasan beragama
yang tidak menepati Syariah dan Perlembagaan Persekutuan semasa Sesi
Biasa Ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
PUM
bersama pelbagai badan ulama’ di peringkat antarabangsa sentiasa
mengalukan pendirian tegas OIC bagi mewakili semua negara anggotanya di
PBB dan pelbagai forum antarabangsa berhubung kebebasan agama, iaitu
bahawa Islam mengiktiraf kebebasan beragama; seseorang tidak boleh
dipaksa untuk menganuti sesuatu agama; namun, murtad tidak termasuk
dalam kebebasan tersebut. Perkara ini telah diijma’kan oleh ulama’ dan
mujtahid, salaf dan khalaf, dan dari semua mazhab Islam berdasarkan
metodologi syara’ yang diiktiraf, yang turut menjadi asas penting dalam
sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (UNGA Res.
A/65/PV.34).
Walaupun
kedua-dua dokumen ini tidak mengikat dari sudut undang-undang,
“Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR, 1948)” yang membenarkan
jenayah syarie seperti murtad dianggap tertolak di sisi Syariah, khasnya
melalui dokumen “Deklarasi Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah
(CDHRI, 1990)”. Bahkan, terdapat resolusi penyelarasan antara negara anggota OIC dalam bidang hak asasi manusia (Resolusi
No. 41/21- P, 1993) berdasarkan CDHRI di mana kebebasan beragama tidak
terkecuali. Sedihnya, resolusi ini masih terbiar tanpa penyelarasan oleh
pihak Kerajaan seperti di dalam Akta 597 (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia 1999) dan Draf “Asean Human Rights Declaration (AHRD)” yang
bakal dimuktamadkan pada 21 November 2012 ini.
PUM
meminta SIS (Sister In Islam) dan sesetengah pihak sekularis berhenti
memanipulasi teks agama untuk disesuaikan dengan perspektif sekular,
termasuk dalam isu kebebasan beragama. Tindakan tersebut merupakan suatu
penistaan agama (defamation of religions) yang menjadi
sebahagian daripada menifestasi religiofobia. Bahawa, ianya telah pun
dianggap suatu jenayah di peringkat nasional dan antarabangsa. Justeru,
PUM menyokong Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan-kerajaan Negeri yang
menjalankan tanggungjawab mengambil tindakan dari sudut perundangan,
pendidikan, media dan seumpamanya untuk memastikan agama tidak dinafikan
haknya atas nama-nama yang indah seperti hak asasi manusia.
DR. MOHD ROSLAN MOHD NOOR
Setiausaha Agung
Persatuan Ulama’ Malaysia
No comments:
Post a Comment