Pages

Friday, 16 November 2012

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA
13hb November 2012
“KEBEBASAN BERAGAMA”

Dengan harapan media beramanah dalam melaporkan isu kebebasan beragama yang sedang dibincangkan, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) ingin menyatakan sokongan terhadap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk para pemimpin dunia yang lain yang mengutuk perbuatan biadap menista agama, termasuk sebarang penistaan dalam isu kebebasan beragama. Dan, di saat ummah Islam semakin hilang keyakinan terhadap PBB, PUM turut menyokong Kenyataan Malaysia, khasnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menolak konsep kebebasan beragama yang tidak menepati Syariah dan Perlembagaan Persekutuan semasa Sesi Biasa Ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
PUM bersama pelbagai badan ulama’ di peringkat antarabangsa sentiasa mengalukan pendirian tegas OIC bagi mewakili semua negara anggotanya di PBB dan pelbagai forum antarabangsa berhubung kebebasan agama, iaitu bahawa Islam mengiktiraf kebebasan beragama; seseorang tidak boleh dipaksa untuk menganuti sesuatu agama; namun, murtad tidak termasuk dalam kebebasan tersebut. Perkara ini telah diijma’kan oleh ulama’ dan mujtahid, salaf dan khalaf, dan dari semua mazhab Islam berdasarkan metodologi syara’ yang diiktiraf, yang turut menjadi asas penting dalam sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (UNGA Res. A/65/PV.34).
Walaupun kedua-dua dokumen ini tidak mengikat dari sudut undang-undang, “Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR, 1948)” yang membenarkan jenayah syarie seperti murtad dianggap tertolak di sisi Syariah, khasnya melalui dokumen “Deklarasi Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah (CDHRI, 1990)”. Bahkan, terdapat resolusi penyelarasan antara negara anggota OIC dalam bidang hak asasi manusia (Resolusi No. 41/21- P, 1993) berdasarkan CDHRI di mana kebebasan beragama tidak terkecuali. Sedihnya, resolusi ini masih terbiar tanpa penyelarasan oleh pihak Kerajaan seperti di dalam Akta 597 (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999) dan Draf “Asean Human Rights Declaration (AHRD)” yang bakal dimuktamadkan pada 21 November 2012 ini.
PUM meminta SIS (Sister In Islam) dan sesetengah pihak sekularis berhenti memanipulasi teks agama untuk disesuaikan dengan perspektif sekular, termasuk dalam isu kebebasan beragama. Tindakan tersebut merupakan suatu penistaan agama (defamation of religions) yang menjadi sebahagian daripada menifestasi religiofobia. Bahawa, ianya telah pun dianggap suatu jenayah di peringkat nasional dan antarabangsa. Justeru, PUM menyokong Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan-kerajaan Negeri yang menjalankan tanggungjawab mengambil tindakan dari sudut perundangan, pendidikan, media dan seumpamanya untuk memastikan agama tidak dinafikan haknya atas nama-nama yang indah seperti hak asasi manusia.
DR. MOHD ROSLAN MOHD NOOR
Setiausaha Agung
Persatuan Ulama’ Malaysia

No comments:

Post a Comment