Selamat Datang

Selamat Datang Ke Laman Perguruan Silat Lintau Yang Asli... Silat Lintau Yang Berasal Dari Tepi Selo, Lintau Buo Utara.

PERTUBUHAN SILAT LINTAU KELANTAN: PERSILEK Headline Animator

Monday 13 June 2011

PERKEMBANGAN SILAT LINTAU (SILAT TUA) DI MALAYSIA

Silat Lintau berasal daripada Kenagarian (Ranah) Lintau, Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia. Silat Lintau dikenali di Minangkabau kini sebagai Silat Tua dan ada juga yang masih mengekalkan nama Silek Lintau.

Silat Tua di kenal pasti berkembang di Malaysia di daerah Kuala Kangsar, Perak. Ianya di kembangkan oleh Pendekar Talib yang berasal dari Ranah Lintau, Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia. Beliau telah menurunkan ilmunya kepada Kulop Mat Deros yang kemudian menurunkan pula ilmu ini kepada Tok Ki Baharom, Ahmad Bin Rashid dan Pak Da Abas. Selepas daripada itu, masing-masing membuka gelanggang untuk belia2 di sekitar Kuala Kangsar dan Padang Rengas.


Tok Ki Baharom merupakan jurulatih kanan di gelanggang Kulop Mat Deros dan kedua orang kawan2nya yang saya kenali iaitu Pak Da Abas dan Pak Mat Jambang mengakui mereka pandai ditangan Tok Ki Baharom.

Tok Ki Baharom pula telah menurunkan ilmu ini diantaranya kepada anaknya sendiri yang dikenali dengan nama Nan. Beliau juga memberi ilmu ini kepada seorang lagi anaknya (yang masih hidup sekarang ini) iaitu Pak Hamid. Langkah dan cara permainan Tok Ki Baharom dilihat berbeza dengan dua orang sahabatnya (Pak Mat Jambang dan Pak Da Abas) akan tetapi, mereka bertiga sebenarnya mempunyai ilmu yang sama belaka. 

KENAPA BERBEZA

Tok Ki Baharom diakui sebagai seorang yang handal 'berlintau' dan diantara tiga sahabat tadi, bakat beliau yang paling menyerlah dan cara beliau berlintau lah cara yang paling bahaya. 

Sesiapa juga yang belajar dengan Tok Ki Baharom pasti akan merasa sakit. Itulah ganjarannya jika ingin belajar dengan beliau. 

Pak Mat Jambang (Ahmad bin Rashid) pula lemah lembut permainannya, beliau telah mengubah sistem mengajar langkah menjadikan murid di gelanggang beliau mempelajari Silat Lintau 'step-by-step'

Cara dan gaya Pak Da Abas pula saya tak sempat melihatnya akan tetapi sahabat baik saya Dr. Raja Tazilli boleh menceritakannya. Insha Allah satu hari nanti kita dapat mengetahui dari Dr. Raja Tazilli.

MASA BERLALU

Masa berlalu, zaman berganti zaman, Tok Ki Baharom, Pak Mat, Pak Da semuanya telah kembali kepangkuan Ilahi. Al Fatihah buat mereka...

Saya belajar Silat Lintau ini di tangan Abdul Hadi b. Mat Yakin, di gelanggang batu 17, Padang Asam. 

Sebelum saya mengajar silat ini, tiada niat sedikit pun untuk membuka gelanggang. Cuma desakan hati dan gerak hati memberitahu saya (setelah mengetahui dari Abdul Hadi bahawa tiada orang yang mengajar Silat ini) maka saya mengambil tanggungjawab untuk membuka gelanggang yang pertama di Kelantan. 

Silat Lintau yang di bawa dari Ranah Lintau oleh Pandeka Talib dan dikembangkan oleh tiga sahabat (Tok Ki Baharom, Pak Mat Jambang dan Pak Da Abas) tidak bergerak diatas mana2 persatuan pada waktu itu. Ianya hampir hilang... hampir pupus... yang mengajar seperti Abg Din (Shabudin bin Ahmad, yang juga dikenali sebagai Pak Din) mengajar secara sendirian tanpa menubuhkan pertubuhan.

Saya merasakan sudah sampai masanya Silat Lintau bergerak dan berkembang dibawah naungan pertubuhannya sendiri tetapi masalah yang timbul di benak fikiran saya pada ketika itu ialah...... BAGAIMANA...???

GELANGGANG PERTAMA

Cara paling mudah ialah dengan mengajar silat ini di sekolah. Setelah mendapat kebenaran dari pengetua Sek Men Tok Janggut (SEMENTOJA) waktu itu (1994) maka saya telah membuka gelanggang yang pertama pada bulan Januari 1995 dengan ahli seramai 40 orang.

Saya telah diberi tugas oleh pengetua SEMENTOJA untuk mengajar budak2 supaya mereka menjadi contoh pelajar yang berdisiplin dan tidak 'bergocoh tak tentu kalu' (tidak menjadi samseng). Saya kemudiannya mengikuti beberapa siri kursus yang dianjurkan oleh Gabungan Seni Silat (PESAKA) Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri. Kursus yang saya sertai ialah:

  • Kursus Silat Olahraga
  • Kursus Jurulatih Silat Olahraga
  • Kursus  Wasit dan Juri Silat Olahraga


dan lulus serta dinobatkan sebagai pelajar wasit/juri terbaik seluruh Kelantan kerana menerima markah 100% dalam teori dan praktikal. 

Setelah itu maka bermulalah era baru dalam dunia persilatan terutama Silat Lintau. Saya mengajar anak murid saya menggunakan kaedah Pak Mat Jambang kerana ianya lebih selamat dan boleh disesuaikan mengikut peraturan Silat Olahraga. Hasilnya, dari tahun 1995 hingga tahun 2007, pasukan kami telah berjaya meraih sebanyak 36 pingat Silat Olahraga di berbagai peringkat (Daerah, Negeri, Zon Timur, Universiti dan Kebangsaan). 

Sistem yang diajar oleh Pak Mat boleh di 'olahragakan' manakala sistem yang dibawa Tok Ki Baharom pula, kalau diolahragakan silap haribulan nyawa boleh melayang... Saya mengambil jalan selamat dengan niat untuk memperkenalkan Silat Lintau... belum tiba masanya (pada waktu itu) untuk 'membuka' rahsia langkah dalam Silat Lintau ini.



SILAT LINTAU - SILAT MINANGKABAU

(Dipetik dari tulisan Sutan Zainul Abidin @ Datuk Pamuncak Alam, Lintau, Tanah Datar.)



Diantara segala permainan tari, pencak dan silat, maka permainan silatlah yang amat susah mempelajarinya. Permainan ini amat mulia dan amat masyhur sekali kemana-mana.


Sesungguhnya orang Minangkabau memang nya dari dahulu mempunyai satu kepandaian yang mulia sekali, iaitu silat. Ilmu silat gunanya untuk kesigapan badan, kecepatan mata, kehalusan rasa. Bukan sahaja penuntut dapat bergerak dengan cepat tetapi minda mereka dapat berfungsi dengan tangkas dan cekap setelah memiliki ilmu silat. Sebab itulah Silat dilihat sebagai suatu yang teramat penting untuk dipelajari.

Makin pandai dan makin termasyhur orang dalam permainan silat, maka semakin banyak pula timbul akal2 baru. Sebab itu seorang ahli silat di Minangkabau diberi gelaran pendekar yang membawa maksud pandai akal.

LANGKAH

Gunanya pemain diajar melangkah, supaya sipemain tepat tegaknya artinya tidak berdiri dengan kaku.

Tepat tegak itu adalah mengajar badan lemas (lemah liut) dan mata supaya cepat bekerja. Sebab itu hendaklah sipesilat memahirkan benar2 langkah itu. Kalau sipesilat kurang mahir melangkah, tentu mereka kurang sigap menangkis.

Langkah ada empat jenis:

  • Pertama langkah Tiga
  • Kedua langkah Empat
  • Ketiga langkah Enam
  • Keempat langkah Sembilan (gelombang 12)
Tiap2 langkah itu ada pertaliannya, langkah tiga bertali dengan langkah sembilan. Langkah empat bertali dengan langkah enam. Langkah enam bertali dengan langkah gelombang 12. 

Sebelum orang memahirkan langkah tiga, orang belum dapat mempelajari langkah sembilan.

Sebelum orang memahirkan langkah empat, orang belum dapat mempelajari langkah enam.

Tetapi untuk memahamkan langkah cukuplah untuk jadi pokok, mengetahui langkah 3 dengan langkah 4 sahaja, karena langkah 9 itu adalah percampuran dari langkah 3 dengan langkah empat.


.....bersambung

No comments:

Post a Comment