Fatwa Dr Yusuf Qardawi Tentang Tuduhan Zina / Liwat.
Menuduh
orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, terutama
tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh
merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan
ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan
Allah dan azab-Nya.
Sebabnya, tohmahan-tohmahan seperti
itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang-orang yang beriman
sama ada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai
berburuk sangka terhadapnya… Perkara sedemikian juga menyebabkan
tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu,
al-Quran mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta
yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah
s.w.t.: “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan
mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka
telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab 33:58)
Allah s.w.t. juga berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang
lengah (iaitu tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan yang
keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka terkena laknat di dunia
dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika)
lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa
yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka
balasan yang setimpal menurut semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah
lah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat
yang sebenarnya).” (Surah an-Nur 24: 23-25)
Para ulama telah sepakat (ijmak)
mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan
tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman
terhadap mereka yang melemparkan tuduhan ke atas wanita mukminat.
Ayat di atas turun dalam bentuk
seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) kerana ayat tersebut
diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin, Aishah
As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang
isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah,
Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji.
Orang-orang munafik menyebarkan
khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah
melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang
tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafik
benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah.
Demikianlah kisah yang berkaitan
dengan “Hadith al-Ifki” atau “Insiden Fitnah” yang telah meresahkan
rumah Nabi s.a.w., rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar
Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran bagi menerangkan perkara
tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti
sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah para pendusta dan
membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala
tuduhan jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun
merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit
itu.
Bacalah firman Allah s.w.t. dalam
surah an-Nur: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu
adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita
bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat
balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang
mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu
baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong
itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri
mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ‘Ini adalah suatu berita
bohong yang nyata.’ Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan
empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak
mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang
yang dusta.” (Surah an-Nur 24:11-13)
Inilah hukum Allah yang tegas:
sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti
berzina (atau liwat) maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan
mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat
keperibadiannya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh
sedang melakukan perbuatan zina (liwat) secara jelas dengan mata kepala
mereka sendiri… Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat
saksi, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t.
Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah,
bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim,
berdasarkan firman Allah s.w.t. “Dan orang-orang yang menuduh
wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak
mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu)
dengan 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat
selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur
24:4, 5)
Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu:
PERTAMA: Hukuman fizikal, iaitu
disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh
badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi
orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh
memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh berserta kaum
keluarganya.
KEDUA: Hukuman moral dan sosial,
iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang
yang menuduh itu. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial,
politik tidak boleh diterima pakai. Ia mencakupi seluruh jenis
kesaksian…..
KETIGA: Hukuman agama, iaitu dengan
menggelarnya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya ke dalam
golongan ‘fasiqun’. Al-Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan
daripada keimanan. Allah s.w.t. berfirman: “Maka adakah orang-orang yang
beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka
syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka
kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah
neraka.” (as-Sajdah 32: 18-20)
Walau bagaimana pun, dengan rahmat
dan kasihnya Allah masih lagi membuka pintu taubat bagi mereka yang
ingin menyucikan dan membersihkan diri. Firman Allah: “Kecuali
orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka
sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nur
24: 5)
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa
taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu
penggelaran dirinya sebagai fasik. Taubat tidak memansuhkan hukum
gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara ‘gugurnya kesaksian’
dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal, “Dan janganlah kamu
terima kesaksian mereka buat selama-lamanya”.
Jenayah melemparkan tohmahan itu
boleh menjadi lebih besar jika orang yang dituduh dikenali oleh khalayak
ramai sebagai orang yang istiqamah dan salih. Mereka mengenalnya
sebagai orang yang baik dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan
dilakukannya. Sesungguhnya suara orang ramai merupakan pena-pena
kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah kesaksian
orang-orang yang salih dan baik.
Pandangan dan sikap Islam dalam
menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan
keras. Islam tidak membenarkan seorang Muslim menyakiti perasaan seorang
saudaranya sesama Muslim dengan perkataan menghina, sama ada di
hadapannya atau di belakangnya. Allah berfirman: “Hai orang-orang yang
beriman, jauhilah dari kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya
sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu
mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu
memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa
jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat 48: 12)
Dalam satu hadis sahih, Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah,
harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.”
Jika Islam tidak menentukan sikap
yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara selurah
manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas.
Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.
Bertolak atas kesedaran ini pula
Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi
menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada
seseorang yang menggesa Ma’iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan
hukuman rejam, “Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik
untukmu”. Rasulullah juga bersabda: “Seluruh umatku akan memperoleh
pengampunan, kecuali orang-orang yang suka menyebarkan aib orang lain.”
Dan baginda bersabda: “Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang Muslim
nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat.”
Allah s.w.t. juga berfirman dalam
al-Quran al-Karim: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita)
perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang
beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah
an-Nur 24: 19)
No comments:
Post a Comment