Pages

Friday 31 August 2012

Secebis Kisah Perjuangan - Abdullah Zawawi

Lahir di Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1922, Raden Abdullah Zawawi bin Raden Haji Hamzah merupakan keturunan langsung daripada Bintoro Raden Adipati DanuRadjo (DanuRejo) atau lebih dikenali sebagai Sunan Geseng yang merupakan murid dari Sunan Kalijaga.
AL-FATIHAH UNTUK ALMARHUM AYAHANDA YANG TERCINTA

Saya tulis warkah ini sebagai kenangan untuk tatapan anak2 saya khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Kepada anak2ku: semuga secebis kisah hidup dan perjuangan datuk kamu ini menjadi inspirasi dan kenangan untuk disampaikan kepada anak2mu pula nanti. Datuk kamu seorang pendiam, wara', alim. Beliau hafal Al-Quran dan Hadis, boleh berbicara dalam enam bahasa dan mempunyai kawan dari semua golongan. 

 SECEBIS KISAH

MENINGGAL DUNIA

Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur (kini HKL) pada 8/11/1969 jam 7.30 pagi. Jenazahnya dibawa pulang kerumahnya di Petaling Jaya dan seterusnya ke kampung halamannya di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Jasad beliau disemadikan di tanah perkuburan Kota Lama Kiri yang terletak di belakang masjid Kota Lama Kiri.

Beliau meninggalkan seorang balu, Hajjah Fatimah binti Samsudin dan dua orang anak. Anak sulung beliau, Salmah telahpun meninggal dunia di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang akibat kencing manis dan penulis merupakan anak lelaki almarhum.

Beliau meninggal dunia akibat mengidap penyakit kencing manis yang kronik dan kegagalan buah pinggang. Kronologi kepada kematian beliau bermula pada pilihanraya umum yang dijalankan pada tahun 1969 yang melihat peristiwa hitam di Malaysia pada waktu itu yang dikenali sebagai TRAGEDI 13 MEI.

PENDIDIKAN

Beliau mendapat pendidikan awal agama daripada abang kandung sebapa iaitu Alm Tn Haji Ismail b. Hj Hamzah, Mufti Perak yang meninggal dunia pada tahun 1953.

Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Al-Mashor, Pulau Pinang dan setelah lulus di sana beliau telah ke King Edwards College, Negeri Sembilan dan belajar sehingga lulus Senior Cambridge.

Setelah lulus daripada King Edwards, beliau ke Singapura dan diterima masuk ke AlJunid School, sebuah sekolah agama yang termasyhur ketika itu. Disana beliau belajar dan akhirnya diambil sebagai tenaga pengajar pada waktu penjajahan Jepun.

KERJAYA

Diantara kerjaya yang beliau jalankan ialah menjadi penterjemah di Konsulat Indonesia di Singapura dan berkhidmat di Departemen Penerangan Republik Indonesia di Singapura juga.

Sewaktu perang Jepun, beliau ditangkap dan dipenjarakan bersama bapa saudara isterinya Alm Haji Sulaiman Mat Saneh di Singapura.

Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, beliau mendapat pekerjaan di Utusan Melayu sebagai penyusun huruf. Oleh kerana beliau sebenarnya mempunyai kelulusan yang tinggi akhirnya beliau telah ditawarkan menjadi pengarang berita.

Antara rakan baiknya di Singapura itu ialah Alm A Samad Ismail, A. Samad Said, Dato Mazlan Nordin, Abdullah Sanggora, Pak Sako dan ramai lagi.

A. Samad Ismail telah mengajak abah saya bekerja bersama dengannya di New Straits Times (Spore) dan abah saya mula menjalankan tugas sebagai reporter. Oleh kerana beliau sering sakit akibat mengidap penyakit TBC (Tuberculosis/Batuk kering) maka akhirnya abah diangkat menjadi sub-editor di NST.

PENGLIBATAN DALAM POLITIK

Semasa di Singapura ini juga beliau bergiat dalam politik tanahair. Beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Partai Rakyat Singapura, Setiausaha Agung Partai Kebangsaan Melayu Malaya @ PKMM atau juga dikenali sebagai Malay Nationalist Party (MNP) di Singapura. Beliau juga cuba untuk menubuhkan akhbarnya sendiri bersama rakan2 lain.

Beliau juga berkawan baik dengan Tun Saadon Jubir yang pernah menjadi Gubernur Pulau Pinang suatu masa dahulu.

WARAN TANGKAP

Sewaktu menjawat jawatan Setiausaha Agung PKMM di Singapura inilah beliau sekali lagi hampir dipenjarakan oleh British. Waran tangkap telah dikeluarkan keatas pimpinan PKMM Singapura. Pada waktu itu, Dr. Burhanuddin, Kamaruzaman Ahmad dan beberapa rakan lain telah pun di tangkap dan di hantar ke Pulau (?) [bila dah ingat nanti saya akan catat]. Melihat wajahnya yang kurus cengkung akibat TBC yang teruk serta Kencing Manis yang dihidapinya, pegawai polis berbangsa Inggeris yang ditugaskan menangkapnya hanya sekadar menasihatkan abah dengan kata-kata agar "Ustaz tidak usahlah main politik lagi. Saya kesian tengok Ustaz. Kalau saya tangkap Ustaz nanti kesihatan Ustaz akan jadi lebih teruk... please stop your political activities Ustaz" dan pegawai itupun pergi meninggalkan abah yang sedang mengetik mesin taipnya di pejabat NST waktu itu.

Pujukan Polis British tersebut tidak diendahkan oleh abah yang sedar bahawa khidmatnya masih lagi diperlukan. Ramai yang tidak tahu bahawa Abdullah Zawawi merupakan the man behind Dr. Burhanuddin. Setiap ucapan Dr. Burhanuddin ditulis oleh beliau atas permintaan Pak Doktor.

Setelah PKMM diharamkan oleh British, beliau bergiat dalam beberapa pertubuhan lain seperti Parti Rakyat dan setelah PAS ditubuhkan dan Dr. Burhanuddin dilantik sebagai Presidennya maka sekali lagi beliau bergandingan dengan Dr. Burhanuddin sebagai Setiausaha Agung PAS.

BERPINDAH KE KUALA LUMPUR

Kalau saya tidak silap, kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1964. Waktu itu, A. Samad Ismail (Tan Sri) yang merupakan Editor bagi akhbar New Straits Times menulis surat kepada ibu pejabat NST meminta supaya Abdullah Zawawi dipindahkan ke Berita Harian. Beliau diberi jawatan sebagai sub-editor di pejabat NST di Jalan Pudu waktu itu. Setiap hari saya akan turut bersama ibu menghantar abah ke pejabat NST pada jam 1.30 tengahari. Waktu bekerja beliau ialah dari jam 2.00 petang hingga 9.00 malam.

MENERIMA BERITA SEDIH

Suatu malam pada tahun 1964 telefon dirumah berdering dan saya yang mengangkat gagangnya. Kedengaran suara yang berkata "Kamal, panggil abah kamu cepat..." saya lalu memanggilnya dan setelah habis perbualan beliau menyampaikan kepada kami tentang berita Ustaz Zulkifli Muhammad kemalangan di Kuantan dan meninggal dunia. Kami kemudiannya bergegas pulang ke Kuala Kangsar. Masih segar diingatan saya wajah Ustaz Zulkifli Muhammad dan isterinya Ustazah Asiah yang turut maut dalam kemalangan tersebut.

BERPINDAH KE PETALING JAYA

Kami berpindah ke Petaling Jaya pada tahun 1967 dan saya ditempatkan di Sek. Ren. Keb. Sultan Alam Shah (2), Jalan Bukit dalam darjah satu.

TRAGEDI 13 MEI 1969 

Kini, ramai yang bercakap mengenai sejarah hitam yang menyaksikan ramai rakyat Malaysia terbunuh. Melayu, Cina dan India ramai yang terkorban.

Saya akan menulis apa yang saya lihat dan ingat pada waktu itu dan mungkin apa yang saya utarakan diblog ini lain daripada versi yang pernah dibaca oleh orang diblog lain. Versi saya hanyalah daripada apa yang saya lihat dan apa yang diberitahu kepada saya oleh bapa saudara saya, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang ketika itu bertugas di Rawang.

Saya tidak ingat dengan jelas akan tarikh dan hari ianya berlaku tapi yang saya amat ingat ialah seperti berikut:

MALAM SEBELUM RUSUHAN

Seperti biasa, jam 8.30 saya akan mengikuti ibu untuk mengambil abah di pejabat NST Jalan Riong, Bangsar. Setibanya disana kami menunggu abah turun dari pejabatnya. Biasanya saya akan naik kepejabat beliau dan turun bersama beliau.

Setelah menaiki kereta, ibu memandu keluar dari pejabat NST, melalui jalan Riong menuju simpang Jalan Bangsar. Alangkah terkejutnya kami apabila melihat ratusan (mungkin hampir atau lebih seribu) pemuda bermotosikal berarak selama hampir setengah jam, memenuhi Jalan Bangsar, berteriak kegembiraan kerana mereka telah memenangi Pilihanraya dan berjaya memperolehi lebih dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan.


Saya tidak silap pandang... perarakan tersebut terlalu lama... menakutkan... kerana kesemua motosikal yang berarak itu membawa bendera sebuah parti pembangkang yang kini berada didalam kerajaan BN. Kesemuanya yang berarak pada malam tersebut adalah ahli Parti Gerakan.... BUKAN DAP seperti yang diwar-warkan oleh setengah pihak sekarang... Saya menjadi saksi kepada peristiwa malam sebelum rusuhan kaum berlaku di Kuala Lumpur... Semua motosikal mengibarkan bendera Parti Gerakan dan mereka lah yang berarak dan membuat kacaubilau di Kuala Lumpur.

Keesokan harinya abah seperti biasa kepejabat... masuk jam dua dan akan pulang jam 9.00 malam. Petang itu, jam hampir 7.00 petang, jiran belakang rumah bergegas kerumah dan melaung memanggil ibu. Beliau menyuruh kami segera ke Bangsar untuk mengambil abah kerana di Kuala Lumpur telah berlaku rusuhan berdarah... Kami cuba menelefon pejabat NST tapi tidak berjaya... talian sudah diputuskan... dan bergegas ke Bangsar.

...bersambung

No comments:

Post a Comment