SILAT MEMBENTUK SAHSIAH REMAJA
BAHAGIAN PERTAMA:
03 November, 2011
Assalamu 'alaikum wm wb.,
Silek atau biasa disebut silat adalah seni beladiri
yang dimiliki oleh masyarakat Minangkabau, yang diwariskan secara turun temurun dari
generasi ke generasi. Masyarakat Minangkabau memiliki tabiat suka merantau
semenjak beratus-ratus tahun yang lampau. Untuk merantau tentu saja mereka
harus memiliki bekal yang cukup dalam menjaga diri dari hal-hal terburuk selama
di perjalanan atau di rantau, misalnya diserang atau dirampok orang.
Selanjutnya daerah Nusantara ini adalah daerah yang subur dan merupakan tempat
rempah-rempah penting sejak abad pertama masehi, oleh sebab itu, tentu saja
ancaman-ancaman keamanan bisa saja datang dari pihak pendatang ke kawasan
Nusantara ini.
Untuk
dua alasan diatas maka masyarakat Minangkabau pada tempo dahulunya perlu
memiliki sistem pertahanan untuk mempertahankan negerinya dari ancaman musuh
kapan saja. Jadi secara fungsinya silat dapat dibedakan menjadi dua yakni:
§
Sebagai
alat untuk panjago diri [pembelaan diri dari
serangan musuh]
§
Sebagai
alat untuk panjago nagari [sistem pertahanan
negeri]
Secara
harfiah Silek [Silat] berasal
dari kata siliek yang berarti si liat,
karena demikian hebatnya berkelit dan licin seperti belut. KataPencak Silat di dalam pengertian para tuo silek (guru besar silat)
adalah mancak dan silek. Perbedaan dari kata
itu adalah:
§
Kata mancak atau dikatakan juga
sebagai bungo silek (bunga silat) adalah
berupa gerakan-gerakan tarian silat yang dipamerkan di dalam acara-acara adat
atau acara-acara seremoni lainnya. Gerakan-gerakan untuk mancak diupayakan seindah dan sebagus
mungkin karena untuk pertunjukkan
§
Kata silek itu sendiri bukanlah
untuk tari-tarian itu lagi, melainkan suatu seni pertempuran yang dipergunakan
untuk mempertahankan diri dari serangan musuh, sehingga gerakan-gerakan
diupayakan "sesedikit mungkin, cepat, tepat, dan melumpuhkan lawan".
Para
tuo silek juga mengatakan kalau mamancak di galanggang, kalau
basilek dimuko musuah (jika melakukan tarian pencak di
gelanggang, sedangkan jika bersilat untuk menghadapi musuh). Di
tiap Nagari memiliki tempat belajar silat atau dinamakan juga Sasaran Silek dan Surau Silek yang dipimpin oleh guru
yang dinamakan Tuo Silek. Tuo Silek ini memiliki tangan kanan yang bertugas
membantu beliau mengajari para pemula.
Orang
yang mahir bermain silat dinamakan Pandeka [pendekar]. Gelar
Pandeka ini pada zaman dahulunya dilewakan (dikukuhkan) secara adat
oleh Ninik Mamak dari Nagari yang bersangkutan. Namun
pada zaman penjajahan gelar dibekukan oleh pemerintah Belanda. Setelah lebih
dari seratus tahun dibekukan, masyarakat adat Koto Tangah, Kota Padang akhirnya
mengukuhkan kembali gelar Pandeka pada tahun 2000-an. Pandeka ini memiliki
peranan sebagai Parik Paga Dalam Nagari (penjaga keamanan
negeri), sehingga dibutuhkan dalam menciptkan negeri yang aman dan tentram.
Pada bulan Jun 2011, Presiden PERSILEK, Dr. Kamal Shah b. Abdullah Zawawi digelari
Pandeka Sutan Rajo Sati oleh Ketua Tuo Silek Se Alam Minangkabau, Bapak David Suhu di hadapan orang ramai di sasaran Silek Lintau Nan Tuo Gunung Ledang, Tanjung Bonai, Lintau. Gelar ini diberikan sebagai penghormatan atas upaya beliau
mengembangkan Silek Lintau di Kelantan.
Sejak abad ke 16, Islam mula tersebar dikalangan masyarakat Minangkabau. Kedatangan Islam membawa perubahan yang sangat besar dalam masyarakat dan ini telah meletakkan silat ditempat yang lebih tinggi dari sebelum Islam. Para pendakwah Islam atau mu'allim yang membawa perubahan kepada sistem pengajian silat. Perubahan yang dibawa bukanlah dalam bentuk teknik bersilat tetapi lebih kepada falsafah yang berbentuk kerohanian/kesufian dan ianya digabungkan dengan teknik silat itu sendiri.
Para Ulama dan pendakwah yang menyebarkan Islam ini mula menggabungkan falsafah Islam yang terdapat dalam ajaran Tasauf dengan gerakan silat. Maka lahirlah Silek (Silat) Ulama atau Silat Kain yang juga disebut sebagai Silaturrahim. 'Musuah indak dicari' (musuh tidak dicari) menjadi kata pakai pesilat dimana pesilat diajar untuk tidak memulai permusuhan atau pergaduhan malah menggunakan silat HANYA sebagai alat pertahanan diri semata2. Dari situlah lahirnya SILAT LINTAU - gabungan diantara teknik pergaduhan (silat) dan tasauf.
Pada waktu ini juga gelanggang silat beralih ke surau dimana gelanggang didirikan ditepi surau dan ini merupakan permulaan kepada istilah SURAU SILAT di Lintau dan Minangkabau amnya. Di surau silat ini penuntut diajar ilmu agama dengan penekanan kepada pembentukan sahsiah diri (melalui ilmu tasauf) dan ilmu mempertahankan diri (silat). Pergerakan silat dilihat sebagai tajalli diri bathin yang harmonis. Ilmu pernafasan dan zikir diajar kepada penuntut silat untuk membentuk diri menjadi hamba Allah yang sholeh, wara' dan tawadhu'.
Gerak Asas
Gerakan pertama yang ingin dibincangkan kali ini ialah balabeh. Balabeh merupakan konsep yang merujuk kepada kedudukan tubuh pesilat dengan memasang kuda-kuda dan satu tangan diletakkan dihadapan dada. Pesilat berhadapan dengan lawan dalam kedudukan ini. Akan tetapi, balabeh sebenarnya mempunyai aspek yang lebih penting dari hanya kedudukan fisikal. Balabeh juga merujuk kepada keadaan mental dan konsentrasi pesilat. Setiap balabeh mempunyai nama yang tertentu seperti contoh: Balabeh Alang Babega.
Seperti yang dikatakan di atas tadi, silat dan ilmu agama disatukan menjadikan penuntut silat itu seorang yang bukan sahaja mahir bersilat tetapi juga dapat mengawal diri dari menyalahgunakan ilmu yang diperolehinya di gelanggang berkat daripada mempelajari ilmu tasauf. Orang Minangkabau berpendapat bahawa sebahagian daripada prinsip kehidupan itu boleh didapati daripada memerhatikan alam semesta sepertimana kata alam takambang dijadikan guru (Alam terkembang dijadikan guru). Al-Quran mengandungi intipati prinsip kehidupan yang mesti di pelajari. Kaitan diantara pergerakan silat dan Al-Quran adalah jelas dan ianya menjurus kepada nilai kewujudan manusia di bumi ini.
Sekarang kita akan bicarakan tentang langkah silat dan empat peringkat nilai yang perlu ada bagi setiap pesilat.
Kebanyakan guru silat merujuk kepada langkah empat sebagai empat falsafah yang lahir daripada sifat Nabi Muhammad SAW. Langkah pertama dikaitkan dengan sifat Sidiq iaitu Benar dalam segala perbuatan, perkataan dan iqtikad dalam hati dan kewajipan pesilat itu ialah menegakkan kebenaran dimana sahaja dia berada. Kedua ialah Amanah dimana setiap pesilat itu dididik dan diasuh supaya tidak bersifat khianat pada bangsa, agama dan negara. Ketiga ialah Tabligh yang membawa maksud menyampaikan dan bagi pesilat Tabligh ini ialah menyampaikan kebenaran dalam kehidupan sendiri kepada ahli keluarga dan masyarakat dan keempat ialah Fathonah yang mendidik pesilat supaya berhikmah dalam menjalani kehidupan seharian. Hanya apabila seseorang itu berjaya menguasai keempat2 sifat ini lah baru dia boleh digelar Pandeka yang membawa maksud Pandai Akal. Disamping itu, ada juga guru silat yang memberi pengertian yang berbeza kepada langkah empat seperti umpamanya Syariah, Tarikat, Hakikat dan Makrifat. Begitulah seterusnya pada perguruan2 yang berasal dari Minangkabau.
Integrasi antara adat Minangkabau dan Islam boleh disimpulkan sebagai berikut. Adat Minangkabau menerangkan bahawa perkembangan kerohanian mesti melalui empat fasa iaitu:
- Urang - Mereka yang boleh berfikir
- Urang nan takka urang: Mereka yang berfikiran kritis
- Urang nan kajadi urang: Mereka yang mempunyai sikap yang lebih saintifik
- Urang nan sabana urang: Mereka yang mempunyai pegangan atau falsafah hidup yang sempurna
Disini kita dapat melihat bahawa pendidikan silat ini berhubung kait dengan pembentukan sahsiah murid dimana murid yang belajar silat ini akan dilatih dan diasuh menjadi seorang yang cintakan kedamaian, bersikap patriotik dan memiliki peribadi yang mulia.
SEKIAN BAHAGIAN PERTAMA:
No comments:
Post a Comment